KUALA LUMPUR – Seramai 38 bayi Hari Malaysia 2011 dilahirkan di tiga hospital kerajaan dan dua hospital swasta di ibu kota sejak tengah malam semalam hingga tengah hari Jumaat.
Daripada jumlah itu, 20 merupakan bayi perempuan dan 18 bayi lelaki.
Tinjauan Bernama mendapati kelahiran paling ramai di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan 17 bayi diikuti Hospital Ampang (10), Hospital Kajang (lapan), manakala bagi hospital swasta pula, Pusat Perubatan Sentosa dua kelahiran manakala seorang bayi dilahirkan di Pusat Perubatan Tropicana.
Daripada jumlah itu empat kelahiran melalui pembedahan, tiga di HKL dan seorang di Hospital Ampang.
Tinjauan mendapati HKL menyambut kelahiran pertama bayi seberat 2.94kg pukul 12.15 pagi manakala bayi seberat 2.21kg di Hospital Ampang pada pukul 12.20 pagi, masing-masing seorang perempuan dan lelaki.
Bagi Azizah Abu Bakar, 37, penantiannya selama lapan tahun untuk mendapatkan anak perempuan tercapai apabila melahirkan anak keempatnya bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia ke-48.
Dia yang sepatutnya bersalin pada 10 Sept lepas tidak menyangka melahirkan anaknya itu melalui pembedahan di HKL pada 1.30 pagi tadi dan amat bersyukur.
Wanita ini berkata dia telah pun mempunyai tiga anak lelaki sebelum ini yang jaraknya lapan tahun dengan bayi perempuannya itu diberi nama Aisyah Nabihah.
“Saya berharap bayi ini membesar menjadi warga yang berguna dan mampu menyumbangkan sesuatu kepada negara,” katanya dengan penuh gembira.
Turut berkongsi kegembiraan ialah N Natieya, 20, yang melahirkan bayi lelakinya kira-kira sejam sebelum itu di hospital yang sama.
Noraini Roz, 24, pula melahirkan bayi perempuan seberat 2.94kg kira-kira 15 minit selepas tengah malam.
“Rezeki saya melahirkan anak kedua sempena sambutan Hari Malaysia dengan proses bersalin yang mudah,” katanya.
Sementara itu, sebuah syarikat pengeluar lampin bayi, Disposable Soft Goods (DSG), menghadiahkan saguhati kepada bayi bertuah yang dilahirkan di 43 hospital awam terpilih pada sambutan Hari Malaysia.
Pengarah Perdagangan DSG, Foo Yoke Mun berkata syarikat turut memberikan perlindungan insurans percuma bernilai RM12,000 selama setahun kepada ibu terpilih yang melahirkan bayi sempena hari bersejarah itu. – BERNAMA
sumber dicilok dari : [sini]
No comments:
Post a Comment