Seorang ayah pergi
merantau ke luar negara untuk mencari rezeki meninggalkan seorang
isteri dan tiga orang anak. Dia seorang yang penyayang dan sangat
dikasihi dan dihormati pula oleh ahli keluarganya.
Setelah
keadaannya di rantau orang agak stabil, dia menghantar surat pertama
kepada keluarganya. Mereka sangat gembira menerima surat yang sungguh
bermakna dari seorang ayah yang sangat dikasihi dan disayangi. Sampul
surat itu ditenung berulang kali. Masing-masing memeluk dan mengucup
surat tersebut bagai tidak mahu dilepaskan. Kemudian surat yang berharga
itu disimpan di dalam pembalut sutera yang indah. Sekali sekala surat
itu dikeluarkan dari pembalutnya untuk dibersihkan daripada debu dan
habuk. Kemudian meletakkan kembali di dalam pembalutnya.
Kemudian tiba pula surat kedua, ketiga dan seterusnya. Semuanya disimpan dan dijaga rapi seperti surat pertama.
Beberapa tahun berlalu…
Tibalah masa untuk si ayah pulang menemui keluarga tercinta. Alangkah
terkejutnya dia apabila mendapati tiada seorangpun yang tinggal kecuali
anak bongsunya. Dengan cemas dia bertanya:
- Mana ibumu?
- Ibu ditimpa sakit yang amat teruk. Kami tidak ada wang untuk membiayai rawatannya sehingga akhirnya dia meninggal dunia.
- Kenapa begitu? Apakah kamu tidak membuka suratku yang pertama? Di
dalamnya terkandung sejumlah wang yang banyak untuk perbelanjaan kamu?
- Tidak!
- Di mana pula abangmu?
- Dia telah terpengaruh dengan kawan-kawan sebaya yang jahat. Selepas
kematian ibu, tidak ada siapa yang mampu menasihatinya. Sekarang dia
sudah jadi sebahagian daripada mereka.
- (Ayah semakin hairan)
Kenapa begitu? Aku telah tulis dengan panjang lebar menasihati kamu
agar berhati-hati memilih kawan. Jangan berkawan dengan orang jahat
kerana lama kelamaan kita juga akan jadi jahat! Aku juga meminta agar
abangmu itu mengikut aku di rantau orang. Apakah kamu tidak membaca
suratku?
- Tidak!
- لا حول ولا قوة إلا بالله
- Kakakmu di mana?
- Dia pernah tulis surat kepada ayah meminta nasihat tentang seorang
pemuda yang melamarnya. Sekarang dia telah berkawin dengan pemuda itu.
Tapi malangnya dia tidak bahagia. Hidupnya menderita didera sepanjang
masa lahir dan batin.
- Bukankah aku telah jawab surat itu
menasihatinya agar jangan terima lamaran pemuda itu? Aku telah ingatkan,
jangan pillih pasangan berdasarkan harta dan kedudukan. Tapi pilihlah
berdasarkan agama, akhlak dan keturunan! Kamu tidak baca semua
surat-suratku?
- Tidak! Kami simpan surat-surat ayah di dalam
pembalut sutera yang cantik, kami usap dan cium surat itu sebagai tanda
sayang dan rindu kami kepada ayah! Tetapi kami tidak membacanya…
Tidak ada siapa yang percaya akan kebenaran cerita ini. Mungkin ada yang akan berkata ia tidak masuk akal sama sekali!
Namun sedarkah kita bahawa inilah kisah benar. Kisah yang tak masuk
akal inilah yang berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini?
Kita menerima SURAT dari Yang Maha Mengetahui, Maha Pengasih, Maha
Penyayang, Maha Memerhati lagi Maha Bijaksana. SURAT yang mengandungi
panduan, ajaran serta petunjuk dalam segenap bidang kehidupan. Tetapi
sejauh mana kita membaca, memahami dan mengikuti panduan yang diberi?
Maka jadilah apa yang terjadi! Umat Islam mati dibunuh saban hari, di
sana sini. Jenayah meningkat, keruntuhan akhlak mencemaskan di semua
peringkat, wanita-wanita didera dan diperkosa tanpa mengira tua atau
muda, bayi-bayi yang tidak berdosa dibuang merata-rata, dan
bermacam-macam kejahatan, maksiat dan kemungkaran yang menjijikkan.
Semuanya berpunca daripada tidak membaca dan mengambil pengajaran
daripada SURAT yang dikirim oleh Pencipta Yang Maha Esa Yang Amat Sayang
kepada makhluk-Nya!
"Demi MASA! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali
(1) orang-orang yang beriman, (2) dan yang beramal soleh
(3) dan yang berpesan2 pada kebenaran (4) dan yang berpesan2 pada kesabaran".
~Surah Al-'Asr.
best surat ni. baca tiap hari.
ReplyDelete